Khamis, 26 September 2013

Sempadan Dan Garisan


Catatan dari thanaif.facebook.com

8/8/13 yang lalu adalah pengalaman yang tidak pernah kami sekeluarga lalui setelah berulang alik setiap tahun untuk pulang bercuti semenjak hampir lapan tahun menetap di Qatar.

Seperti lazimnya syarikat majikan tempat suami berkhidmat tidak memberikan wang tunai bagi membeli tiket-tiket penerbangan dua hala bagi ahli keluarga yang berada di dalam tanggungan suami untuk pulang ke tanah air setiap tahun.

Tidak seperti sesetengah syarikat lain yang mendepositkan wang tunai bagi pekerja mereka untuk pembelian tiket ahli keluarga yang pulang bercuti, kesemua urusan pembelian tiket sepenuhnya dikendalikan oleh pihak syarikat, dari urusan pengstatusan yakni 'status residen', status sah pasport dan dokumen perjalanan yang berkaitan kesemuanya diuruskan oleh majikan yang dilakukan secara 'on line'.

Kami tidak boleh memilih tidak pula boleh membantah.  


Beberapa tahun yang lalu ketika anak sulong saya masih berada di bawah penanggungan majikan syarikat tempat suami bertugas, individu atau pihak yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal yang disebutkan di atas pernah culas menjalankan tugas apabila pada jam-jam yang akhir penerbangan berlepas, suami dan anak perlu bergegas ke jabatan polis bagi mendapatkan pengesahan dokumen perjalanan (saya tidak mengetahui dengan jelas status dokumen itu).


Dan pada malam syawal hari pertama setelah saya dan anak-anak melepasi pemeriksaan di kaunter imigresen saya dapati suami ditahan dan dibawa oleh polis untuk keluar dari garisan kuning yang menjadi sempadan antarabangsa untuk bebas dari berada di Qatar pada sifat undang-undangnya.


Apakah makna garisan kuning yang digariskan di kaunter terakhir bagi pemeriksaan imigresen di setiap lapangan terbang?

Apakah undang-undang mengenainya diketahui oleh setiap ahli penerbangan yang sering kelihatan bergaya ketika berada di lapangan-lapangan terbang?

Ketika suami ditahan saya menutup talian bimbit yang memberi masalah kepada saya walau pun berjenama 'smartphone'. Pada waktu saya dan anak-anak sedang sibuk mengendalikan barangan untuk pemeriksaan itu pada waktu itu jugalah beberapa kali suami mencuba menghubungi saya.


Sukar untuk menyatakan emosi saya dan anak-anak ketika itu kerana beberapa hari sebelumnya saya telah mengingatkan suami mengenai kesemua dokumen dan urusan tiket serta pasport perjalanan kami sekeluarga.

Memandangkan dia adalah penaja yang menanggung kami, sewajarnya tidak wujud masalah ke atas suami setelah saya dan anak-anak berjala melepasi pemeriksaan di imigresen.

Apabila menoleh mencarinya pada saat itulah saya menyedari suami saya telah berada di luar garisan yang berwarna kuning dan hanya mampu memandang kami yang tidak mengetahui apa yang terjadi.


Sebagai seorang isteri saya bertindak melangkahi garisan kuning itu bagi mendapatkan maklumat mengapa dia tidak melepasi pemeriksaan kastam. Melalui telefon suami menyatakan mungkin dia perlu menaiki penerbangan lain dalam sehari dua nanti bagi menguruskan dokumen perjalanannya yang dikatakan tidak sah!  

Pada waktu inilah karenah petugas dari rakyat tempatan amat menjengkilkan.

Apakah sememangnya teramat payah untuk petugas atau pasukan polis yang ada di situ untuk bertanyakan kepada saya mengapakah saya mahu melangkahi garisan kuning itu pada ketika saya mencuba berkomunikasi dengan mereka bagi mendapatkan bantuan?

Apakah ini protokol di dalam etika penjawat yang berada di bahagian hadapan kaunter untuk laluan masuk dan keluar?

Malah petugas lelaki di kaunter meminta saya mengeluarkan pasport tanpa dia menyedari saya sudah selesai berurusan di 'check point' kaunter imigresen. Apabila saya menyatakan saya hanya mahu mendapatkan suami yang melambai meminta saya datang kepadanya bagi diberikan beberapa dokumen, saya tidak dibantu tetapi disergah tanpa menggunakan bahasa inggeris.

Apakah saya memahaminya?
Apakah wujud komunikasi apabila tidak ada informasi atau maklumat yang boleh difahami?

Tidak ada yang membantu saya dan atas alasan itu saya melangkahi garisan kuning itu bagi mendapatkan suami dan mengambil kesemua dokumen yang mahu diberikannya kepada saya.


Di dalam keadaan seperti ini siapakah yang tahu tentang ketidaktahuan mengenai undang-undang perjalanan, undang-undang ketika berada di lapangan terbang, undang-undang yang berkaitan dengan syarikat penerbangan?

SIAPA?