Sabtu, 10 November 2012

Mencari Peluang Berkomunikasi...


6/11/12

Saya perlu berhati-hati dengan apa yang difikirkan tatkala berhadapan dengan tenaga pengajar di sini.

Mereka adalah wanita-wanita yang intelek, professional dan berpengetahuan tinggi di dalam bidang masing-masing dan kelihatan lebih moden walaupun tinggi penghayatan agamanya.

Sambil mengikuti kelas saya membaca olahan dari fikiran saya sendiri dengan memahami kejayaan wanita-wanita di sini berasional dengan peredaran zaman oleh dasar langit terbuka namun masih sedia mengekalkan ketrampilan fikh sebagai kaedah menzahirkan diri.

Seperti mana saat pertama kali mendaftar diri di Mozah Centre, rakan Syrian saya benar-benar mahu agar saya bersama-sama mengikuti pelajaran supaya saya segera upaya memahami dan berkomunikasi dengan menggunakan bahasa arab.

Masalah tetap timbul tatkala diketahui saya tidak boleh berbahasa arab. Rakan saya berbincang dengan petugas di bahagian pengurusan.

Saya tersenyum di dalam hati dengan berbagai rasa yang dialami.

Berasa bersalah kerana menyukarkan rakan saya.

Berasa bersalah kerana menjadi seorang muslim yang membaca Al-Quran tetapi tidak upaya menggunakan bahasa itu dalam usia yang semakin senja.

Berasa berkhilaf dengan standart pendidikan yang saya ikuti sejak hampir setengah abad yang lalu dengan maksud apakah sudut yang membina pengetahuan wajar berbeza sukatannya apabila berada di tengah-tengah komuniti masyarakat muslim sesama sendiri tatkala kami memiliki kitab yang sama membacanya memahami tafsiran dan huraiannya walau pun dalam keadaan yang serba kekurangan.

Qalam Allah ini tanda kekayaan ummat dan kami pula berasa miskin kerana mempelajarinya.
Adakah ia diakibatkan dari standart piawaian yang tidak diperolehi dari panitia antarabangsa dari jabatan persuratan antarabangsa atau syarat minima bagi berpengetahuan dengan Al-Quran menjadikan kami berasa rendah diri?

Kali pertama melangkah masuk ke perkarangan laman bangunan ini jelas terlihat bangunan ini lebih bersifat peribadi cara reka ia dihiasi berbanding bangunan di Mozah Centre yang kelihatan agak luas dengan imej sebagai sebuah organisasi yang dikendalikan secara lebih tersusun.

Namun sifat konservetif lebih dicirikan di Maryam Centre walau pun saya sedari di Mozah Centre menzahirkan wanita-wanita yang lebih bersifat tradisonal dengan ciri-ciri yang agak tertutup pada perkara-perkara baru menyangkuti hal ehwal wanita tempatan.

Ia memeranjatkan saya kerana wanita yang menghuni jabatan pengurusan di Maryam Centre jauh lebih bersikap moden dengan sifat intelek yang disederhanakan oleh identiti mereka berperibadi yang membawa peraturan fikh sebagai susunan wanita-wanita ini menyantuni diri.

Kebolehan berkomunikasi sepenuhnya dilaraskan oleh bahasa inggeris (dengan perasaan meluatnya terpaksa dicatatkan) dan saya yakin sejak dari hari pertama lagi bahawa pusat-pusat pengajian di sini mahu menjadikan bahasa urdu atau hindi sebagai pilihan lain untuk berkomunikasi setelah bahasa arab dan bahasa inggeris.


Di manakah bahasa nusantara yakni bahasa ku di tengah negara yang dikatakan sebagai berada di dunia islam?

Adakah kerana ia berasaskan kepada permintaan yang mungkin tiada, lalu tiada tawaran dilakukan ke atas bahasa nusantara? Panahan minda menikam hati ku tatkala terkesan adakah natijah dari wawasan 2020 telah menyuramkan bahasa 'rasmi' nusantara?



Amalan menjadikan rakyat berhijrah merugikan banyak sudut kepada sebuah negara dalam satu tempuh yang singkat tatkala persekitaran yang membina lingkarannya menuntut untuk sering disesuaikan budaya sosio penghijrah yang menempati lokasi yang diduduki sehingga dituntut pula pengkaedahan ciri-ciri keselamatan bagi menjamin keamanan diri, keluarga, masyarakat dan komuniti setempat.

Tiada ulasan: